Rujuk sekolah jika tak terima wang ihsan

KOTA BHARU 11 Ogos - Ibu bapa pelajar yang menerima bantuan wang ihsan diminta mendapatkan penjelasan daripada pihak sekolah berhubung kelewatan pembayaran wang tersebut.

Pengarah Pelajaran Negeri, Hussain Awang berkata, ibu bapa tidak sepatutnya melemparkan pelbagai tuduhan tidak berasas sekiranya anak-anak mereka lewat menerima wang tersebut.

Beliau berkata, kelewatan itu berlaku kerana pihaknya memerlukan sedikit masa untuk memasukkan bantuan wang ihsan itu ke dalam akaun pelajar terlibat.

"Ibu bapa perlu berjumpa dengan guru terlibat untuk mendapatkan penjelasan jika terdapat kelewatan dan tidak membuat tuduhan sembarangan," katanya merasmikan Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 peringkat daerah di sini, hari ini.

Beliau diminta mengulas rungutan segelintir ibu bapa pelajar yang menerima bantuan wang ihsan itu kerana mendakwa anak mereka masih belum mendapat bayaran walaupun majlis penyerahan telah diadakan sebelum ini.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan agihan peruntukan wang ihsan sebanyak RM15 juta kepada lebih 70,000 pelajar di negeri ini.

Menjelaskan perkara tersebut, Hussain berkata, majlis penyerahan sebelum ini diadakan hanya sebagai gimik pemberian wang tersebut yang menyaksikan setiap pelajar mendapat sebanyak RM200 seorang.

Namun katanya, pembayaran sebenarnya wang itu hanya dibuat ke dalam akaun pelajar terbabit dan ia memerlukan sedikit masa.

Hussain memberitahu, wang ihsan hanya diberikan kepada pelajar tingkatan enam dan murid sekolah rendah yang tidak memperoleh bantuan kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAPM).

"Mereka juga daripada kumpulan pelajar yang mempunyai pendapatan keluarga bawah RM1,500 sebulan," katanya.

Beliau sehubungan itu berkata, ibu bapa pelajar terbabit seharusnya bersyukur menerima bantuan tersebut yang dapat digunakan bagi menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak mereka.

Jelasnya, Kerajaan Persekutuan telah membelanjakan lebih RM100 juta pada tahun ini untuk menyalurkan pelbagai bantuan dan memenuhi pelbagai keperluan 372,688 pelajar di negeri ini.

"Wang itu digunakan untuk membiayai rancangan makanan tambahan, biasiswa, bantuan buku teks, baucer tuisyen dan pelbagai lagi," katanya.

Followers